Kelas Intensif Digital: Pembentangan Audiovisual Menggunakan Aplikasi Canva Bersama Guru SK Sri Kiambang
20 Februari 2023 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Ahad – 19 Februari 2023 - PEDi Repek kali ini berpeluang bekerjasama dengan seorang guru yang dikenali sebagai Puan Siti Suraida, 42 iaitu seorang tenaga pengajar bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang (SKSK) yang berhasrat mempelajari ilmu digital bagi mendidik para murid beliau dengan lebih kreatif dan inovatif sejajar dengan perkembangan sistem pembelajaran hari ini yang semakin canggih untuk diterokai melalui pelbagai instrumen pembelajaran era baharu. Kelas pertama yang disertai beliau kali ini ialah menerokai aplikasi Canva yang mempunyai pelbagi kegunaan dan kemudahan dalam mempelajari ilmu digital dengan lebih mudah dan efisien.
Kelas kali ini memberi tumpuan kepada langkah-langkah dalam menyediakan material pembentangan audiovisual menggunakan aplikasi Canva. Beliau didedahkan dengan aplikasi ini untuk pertama kalinya dan memberi kerjasama yang sangat baik dalam meneruskan kelas ini yang berlangsung selama 3 jam yang bermula dari 11.30 pagi sehingga 1 petang dan disambung pada 2.30 petang sehingga jam 4 petang. Pertama sekali, Cik Aina, Penolong Pengurus PEDi Repek memberi pendedahan serta penjelasan tentang setiap fungsi ikon dan simbol yang terdapat pada aplikasi Canva selepas membuat pendaftaran melalui akaun Google. Kemudian, beliau dijelaskan tentang kepelbagaian ikon yang boleh menyerlahkan kreativiti pengguna dengan menggunakan pelbagai tulisan yang menarik, grafik, infografik, imej, video, audio, muzik dan lebih banyak lagi yang disediakan secara percuma. Beliau juga diberi peluang untuk memilih topik pembentangan sebelum mempelajari cara-cara lebih lanjut untuk menyediakan pembentangan audiovisual ini.
Selepas itu, beliau mula menerokai ikon-ikon penting dalam kelas kali ini iaitu cara memilih jenis dan saiz tulisan, mencari elemen-elemen menarik, memasukkan gambar dengan mencari pada laman carian Canva atau memuatnaik gambar yang tersedia ada dan banyak lagi yang boleh ditonjolkan melalui pembentangan ini. Beliau juga diberi tunjuk ajar untuk membuat rakaman video secara langsung untuk membentangkan topik yang berkaitan selari dengan slaid yang disediakan berserta dengan animasi-animasi yang menarik untuk dipamerkan dan dibentangkan kepada golongan sasaran. Beliau juga diberi tunjuk ajar tentang cara-cara berkongsi pembentangan audiovisual yang disediakan ini secara atas talian dan memuat turun material tersebut untuk digunakan didalam kelas secara off-line.
Akhir sekali, beliau diberi peluang dan masa untuk menggunakan aplikasi ini dan mempratikkan penggunaan ikon-ikon yang tersedia di aplikasi Canva tersebut bagi membiasakan diri untuk membuat pembentangan seterusnya. Justeru itu, kakitangan PEDi amat mengalu-alukan kunjungan masyarakat yang berminat untuk menyertai kelas-kelas yang dianjurkan untuk komuniti yang baru berjinak-jinak dalam bidang IT dan ICT ini. Kami amat menantikan kunjungan para komuniti dan berbesar hati untuk membantu komuniti meningkatkan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran digital dalam mengisi masa lapang dengan lebih bermanfaat untuk masa depan yang lebih baik.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: