Klik dengan Bijak- Scammer “Keldai Akaun”
13 Februari 2023 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Ahad – 12 Februari 2023, PEDi Repek telah bekerjasama dengan PEDi Batu Gajah, PEDi Kg. Karangan dan PEDi Lawang dalam satu sesi perkongsian secara langsung di Streamyard dan FB untuk mengupas topik Scammer “Keldai Akaun”. Taklimat ini dijalankan selama satu (1) jam bermula jam 11.10 pagi hingga 12.10 tengahari. Keldai akaun adalah akaun bank yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun tersebut bagi mendapatkan habuan. Sindiket biasanya mendapatkan akaun keldai (juga dikenali sebagai akaun tumpang) ini dengan memperdaya golongan yang memerlukan pendapatan lebihan serta mempunyai tahap celik kewangan yang rendah. Antara golongan yang sering menjadi mangsa termasuklah suri rumah, penganggur, pelajar dan warga emas.
Sindiket ini memperdayakan mangsa dengan mudah iaitu dengan tawaran upah lumayan mencecah ribuan ringgit untuk membuka atau menyerahkan akaun bank bagi kegunaan pihak ketiga untuk menggunakan akaun bank mereka. Terdapat juga modus operandi yang menggunakan tawaran peluang pekerjaan sebagai cara bagi mendapatkan akses kepada akaun bank mangsa. Mangsa dikehendaki menyerahkan butiran akaun bank termasuklah nombor PIN kad ATM sebagai syarat diterima bekerja dengan pihak sindiket akaun keldai. Malah, terdapat juga syarikat peminjam wang tidak berlesen yang memperdaya peminjam untuk menyerahkan akaun bank mereka sebagai cagaran pinjaman tersebut. Namun pada hakikatnya, pihak sindiket menggunakan akaun bank sebagai akaun keldai.
Justeru itu, amatlah penting untuk orang ramai mengelakkan diri daripada membiarkan pihak sindiket menggunakan akaun bank mereka sebagai akaun keldai. Sekiranya seseorang terjebak menjadi pemegang akaun keldai, individu tersebut boleh disekat daripada menggunakan akaun bank tersebut dan akaun berkenaan boleh ditutup oleh pihak bank. Individu tersebut akan mengalamai kesukaran berurusan dengan bank di masa hadapan. Malah, pemegang akaun keldai boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah sekira terbukti dengan sengaja menjadikan diri alat untuk melakukan transaksi menyokong aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: