Kelas Asas ICT: Microsoft Word
29 Julai 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Khamis – 28 Julai 2022 - PEDi Repek telah mengadakan Kelas Asas ICT: Microsoft Word yang melibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang atau lebih dikenali sebagai SKSK. Kelas asas ICT merupakan kelas yang dianjurkan oleh kakitangan PEDi Repek bagi para pelajar sekolah yang berdekatan. Kelas yang dilaksanakan ini adalah satu siri kursus yang berorientasikan pemahaman dan kemahiran penggunaan ICT untuk mendedahkan mereka dengan kegunaan dan kelebihan celik ICT.
Kelas kali ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang perisian Microsoft Word khususnya. Pertama sekali, peserta diberi penerangan bahawasanya perisian ini boleh digunakan untuk membuat kerja sekolah secara atas talian, lebih-lebih dengan situasi pembelajaran hari ini yang banyak memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi sebagai medium pembelajaran harian. Jadi, kakitangan PEDi telah berkongsi tentang penulisan menggunakan papan kekunci dengan pelbagai huruf, nombor dan simbol yang mungkin masih tidak familiar dengan para pelajar.
Selain itu, kakitangan PEDi juga menjelaskan kegunaan simbol-simbol dan ikon-ikon yang terdapat di perisian tersebut seperti jenis tulisan, saiz tulisan, warna tulisan yang boleh ditukar, Highlight, Italic (I), Bold (B), Underline (U) dan banyak lagi.. Peserta juga di beri tunjuk ajar langkah-langkah untuk memasukkan gambar dan menambah keterangan pada gambar menggunakan perisian Microsoft Word ini. Hal ini bagi menunjukkan para pelajar bahawasanya perisian ini sangat mudah dan menarik untuk digunakan untuk menyelesaikan kerja sekolah secara atas talian dengan baik.
Setelah kelas tamat, peserta diberi masa untuk membiasakan diri menaip dengan menggunakan papan kekunci untuk menulis karangan pendek sebagai langkah pemerhatian tentang perkembangan pemahaman pelajar akan penggunaan perisian ini sepanjang kelas dilaksanakan. Justeru itu, kakitangan amat mengalu-alukan para pelajar setempat untuk ke PEDi berdekatan bagi mempelajari kelas-kelas ICT yang dianjurkan bagi melahirkan komuniti yang celik IT seiring dengan perkembangan teknologi era yang serba canggih ini.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: