Kelas Keusahawanan – Shopee Bersama Usahawan Amanah Iktihar Malaysia (AIM)
18 Jun 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Jumaat – 17 Jun 2022 - PEDi Repek telah berkerjasama dengan Rich Networks Sdn. Bhd dalam menjayakan Kelas Keusahawanan – Shopee Bersama Usahawan Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) yang berlangsung pada 17 Jun 2022 bermula dari jam 2 sehingga 6 petang. Kelas keusahawanan kali ini hanya melibatkan sahabat-sahabat AIM yang berminat dalam memulakan perniagaan secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Shopee. Kelas ini disertai oleh 20 orang usahawan AIM yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan secara atas talian.
Kelas kali ini memfokuskan tentang cara-cara mendaftar akaun Shopee untuk perniagaan. Pada mulanya, mereka didedahkan dengan kebaikan-kebaikan berniaga melalui Shopee terutamanya penjimatan kos operasi perniagaan seperti sifar yuran perniagaan menggunakan platform Shopee. Hal ini menjelaskan bahawasanya tiada yuran pendaftaran dikenakan untuk para usahawan berniaga melalui Shopee, segalanya percuma dengan pelbagai fungsi pemasaran seperti “bump” iaitu promosi secara besar-besaran mengikut jam yang ditetapkan. Hal ini dapat mempromosikan produk jualan para usahawan dengan lebih aktif dan efisien tanpa mengeluarkan sebarang kos.
Mereka juga diberi penjelasan untuk menggunakan pendekatan yang lebih efektif dalam mempromosikan produk jualan menggunakan ayat-ayat yang menarik perhatian dan profesional bagi menarik pelanggan untuk mengunjungi platform perniagaan masing-masing. Warna, resolusi, kreativiti gambar dan video produk jualan juga perlu dititikberatkan sebagai langkah utama dalam mempromosikan jualan secara atas talian. Deskripsi produk jualan juga perlu lebih jelas dan mudah difahami dengan menyatakan pelbagai kelebihan produk jualan agar pembeli lebih percaya untuk membeli produk tersebut. Selain itu, mereka juga diajar untuk memuat naik gambar dan video produk jualan, menukar harga dan variasi produk mengikut kesesuaian jenis perniagaan bagi memudahkan para usahawan untuk terus menjana pendapatan melalui Shopee,
Akhir sekali, kakitangan PEDi Repek dan Rich Networks Sdn. Bhd berharap para usahawan AIM yang menyertai kelas kali ini dapat memanfaatkan segala ilmu perniagaan yang dikongsikan. Kakitangan PEDi juga amat mengalu-alukan kerjasama agensi-agensi kerajaan atau bukan kerajaan bagi menjayakan sebarang aktiviti pendidikan atau keusahawanan bersama komuniti setempat.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: