Kelas ICT: Membuat Resume Menggunakan Canva Sempena Ekspo Kerjaya Jamin Kerja 2022
22 Julai 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Khamis – 21 Julai 2022 - PEDi Repek telah mengadakan Kelas ICT: Membuat Resume Menggunakan Canva sempena Ekspo Kerjaya Jamin Kerja 2022 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 23 sehingga 27 Julai 2022 ini. Kelas ini disertai oleh Puan Nur Ain Nasuha Binti Ismail, 26 yang merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Beliau menganggap kelas membuat resume ini merupakan satu langkah persediaan awal bagi beliau memohon perkerjaan yang diimpikan sebaik mungkin dan beliau sangat teruja untuk memulakan kelas ini bagi menyiapkan resume yang lebih lengkap dan bersesuaian dengan masa kini,
Pertama sekali, kakitangan PEDi memulakan kelas ICT kali ini dengan berkongsi tentang perbezaan menyediakan resume dengan menggunakan Microsoft Word dan Canva. Sebelumnya, Puan Ain telah berhasil membuat resume menggunakan Ms Word, namun bagi beliau resume itu sudah tidak bersesuaian seiring era globalisasi ini. Jadi, kakitangan PEDi memberi penjelasan kepada beliau tentang aplikasi Canva yang mempunyai pelbagai kelebihan lebih-lebih lagi dalam penyediaan resume yang terkini. Kakitangan PEDi meneruskan kelas ini dengan berkongsikan cara pendaftaran untuk menggunakan aplikasi Canva secara percuma.
Kemudian, beliau juga diberi penjelasan tentang kegunaan asas Canva yang perlu dipelajari dan diketahui dalam membuat resume dengan menggunakan simbol-simbol dan ikon-ikon yang terdapat dalam aplikasi ini. Beliau memulakan kelas ini dengan memilih templat resume yang tersedia secara teliti bagi menyesuaikan tema resume dengan pekerjaan yang ingin dimohon dan didapati di kemudian hari. Beliau juga mempelajari cara-cara menukarkan saiz-saiz tulisan, jenis-jenis ayat, warna-warna yang sepadan, dan gambar yang sesuai dan sebagainya bagi menggambarkan personaliti yang ingin ditonjolkan melalui resume tersebut dengan sebaiknya bagi menimbulkan kesan yang lebih positif untuk menarik para juri atau pengulas dalam menanggapi resume yang beliau telah sediakan.
Setelah kelas tamat, peserta diberi masa untuk membiasakan diri menggunakan aplikasi Canva ini untuk berkarya sebagai langkah pemerhatian tentang perkembangan pemahaman pelajar akan penggunaan aplikasi ini sepanjang kelas dilaksanakan. Justeru itu, kakitangan amat mengalu-alukan para pelajar setempat untuk ke PEDi berdekatan bagi mempelajari kelas-kelas ICT yang dianjurkan bagi melahirkan komuniti yang celik IT seiring dengan perkembangan teknologi era yang serba canggih ini.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: