Kelas ICT: Merge & Split PDF File Menggunakan Laman Sesawang ILOVEPDF
16 Jun 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Rabu – 15 Jun 2022 - PEDi Repek telah mengadakan kelas bersama seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Politeknik Kota Bharu mengenai “Merge & Split PDF File Menggunakan Laman Sesawang ILOVEPDF”. Kelas yang berlangsung selama satu jam ini dianjurkan oleh kakitangan PEDi Repek bagi menarik minat pelajar untuk belajar tentang ilmu asas ICT yang merupakan satu kepentingan dalam masyarakat hari ini terutamanya bagi para pelajar IPT.
Kelas hari ini hanya memfokuskan tentang PDF File yang sering kali digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran. PDF yang merupakan Portable Document Format yang digunakan bagi membentangkan dokumen dalam cara yang tidak bergantung pada perisian aplikasi, perkakasan, dan sistem pengendalian. Setiap fail PDF mengkapsulkan perihal lengkap bagi dokumen rata tataletak tetap, termasuk teks, fon, grafik, dan maklumat lain yang diperlukan untuk memaparkannya sebagai satu dokumen PDF. Kemudian, ILOVEPDF merupakan satu laman sesawang yang boleh diakses secara percuma bagi mengedit fail PDF dalam pelbagai format seperti menukarkan dokumen PDF menjadi dokumen Microsoft Word atau JPG atau pelbagai aktiviti lain.
Namun begitu, kelas hari ini hanya menumpukan cara untuk Merge & Split PDF File. Merge merupakan satu aktiviti yang menggabungkan dua atau lebih dokumen PDF kepada satu fail PDF sahaja. Hal ini sangat penting bagi seorang pelajar untuk menggabungkan kertas kerja terpisah yang dikerjakan oleh sesebuah kumpulan sebagai satu dokumen lengkap. Manakala, split merupakan satu aktiviti yang membahagikan fail PDF kepada beberapa bahagian. Hal ini sangat penting dalam mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran kelas yang mungkin menyajikan fail PDF yang mempunyai pelbagai topik berbeza untuk dipelajari dengan lebih mendalam.
Akhir sekali, kakitangan PEDi berharap segala perkongsian maklumat serta pembelajaran dan pembelajaran kelas ICT ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar untuk mempraktikkannya dengan lebih efisien. PEDi Repek juga amat mengalu-alukan para pelajar untuk terus mengunjungi PEDi yang berdekatan bagi mengikuti variasi kelas asas ICT yang dianjurkan oleh pihak PEDi bagi mewujudkan komuniti yang celik IT.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: