Kursus Pengayaan Iklan Melalui Telefon Pintar bersama Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pasir Mas
15 Disember 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital , Rabu – 14 Disember 2022 – PEDi Repek telah bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam menganjurkan “Kursus Pengayaan Iklan Melalui Telefon Pintar Bersama Usahawan MARA Pasir Mas.” Kursus yang berlangsung dari jam 8.30 sehingga 4 petang ini telah melibatkan 15 usahawan yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang perniagaan yang bertujuan bagi meningkatkan lagi hasil perniagaan usahawan MARA dengan memanfaatkan aplikasi dan perisian teknologi hari ini.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memastikan setiap peserta dapat memahami konsep pengayaan iklan melalui telefon pintar dengan lebih jelas, peserta juga diharapkan dapat mengaplikasi tutorial membuat poster dan video melalui telefon pintar dan akhir sekali, peserta juga dapat mengiklankan video pendek yang dihasilkan melalui media sosial perniagaan masing-masing. Kursus yang berlangsung di PEDi Repek ini telah dibahagikan kepada tiga slot yang berbeza yang dikendalikan oleh para kakitangan PEDi Repek. Kursus ini dimulai dengan “Pengenalan Pengayaan Iklan Melalui Telefon Pintar – Canva (Poster)” yang dikongsikan oleh Puan Norbaya selaku Pengurus PEDi Repek. Kemudian, slot kedua pula dikendalikan oleh Cik Aina Syamim selaku Penolong Pengurus PEDi Repek. Slot perkongsian ini melibatkan pengayaan iklan melalui video yang dinamakan sebagai “Tutorial Menyunting Video Pemasaran Melalui CapCut & Tiktok”. Akhir sekali, slot ketiga dikendalikan oleh Cik Wan Nazierah, selaku Rakan Digital PEDi bagi menerangkan lebih lanjut tentang kelebihan pengayaan iklan melalui telefon pintar dengan lebih terperinci dan mendalam yang diberi tajuk “Pros Aplikasi Pengayaan Iklan Melalui Telefon Pintar”.
Kursus ini juga memberi peluang dan masa kepada para peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang dikongsikan secara langsung. Setiap peserta perlu mencipta video pendek bersama poster yang dihasilkan pada slot pertama dan kedua bagi mengiklankan perniagaan masing-masing melalui media sosial tersendiri. Pihak PEDi amat berbesar hati dalam penglibatan program keusahawanan digital ini bagi membangunkan ekonomi usahawan setempat dalam menjana pendapatan secara atas talian dengan lebih baik melalui pelbagai medium yang disarankan dan dianjurkan oleh pihak yang berkaitan. Pihak PEDi juga berharap perlaksanaan program ini dapat membantu usahawan komuniti dengan jayanya dan secara tidak langsungnya dapat jua membantu perkembangan ekonomi negara yang lebih cemerlang.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: