Bicara Pagi KDB Dengan Tajuk Kemurungan Bersama PEDi
30 Mei 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Ahad – 13 Jun 2022 - PEDi Repek bersama PEDi Kg. Karangan dan PEDi Lawang telah menyertai sesi live Bicara Pagi Klik Dengan Bijak yang dikendalikan oleh PEDi Batu Gajah, dalam satu sesi perkongsian live di Facebook untuk mengupas tentang topik “Kemurungan” menggunakan aplikasi StreamYard live di Facebook Pusat Ekonomi Digital Batu Gajah. Sesi ini berlangsung dari jam 10.45 pagi hingga 12.00 tengahari ini membicarakan tentang isu kemurungan dalam kalangan masyarakat pada masa kini.
Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Antara punca kepada kemurungan adalah pernah mengalami kemurungan pada masa lepas, mempunyai ahli keluarga yang menghidap kemurungan, menghidap penyakit kronik (Kanser, Diabetes, Hipertensi, Sakit Buah Pinggang, Strok, Sakit Jantung atau kesakitan berpanjangan). Hilang anggota tubuh badan secara tiba-tiba atau kematian orang yang disayangi secara tiba-tiba juga boleh menjadi punca kepada kemurungan selain daripada isu perceraian dan masalah rumahtangga.
Pada siaran kali ini petugas PEDi juga turut mengupas penyebab kepada berlakunya kemurungan. Antaranya adalah corak pemikiran; terdapat corak tertentu dalam pemikiran yang boleh mencetus kemurungan. Ini termasuklah bagaimana persepsi kita kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya. Stress juga berupaya mencetuskan episod kemurungan sekiranya tidak dikawal. Bagi menangani kemurungan, penggunaan ubat ‘Anti-depressant’ boleh digunakan dengan saranan doktor, menyertai Terapi elektrokonvulsif (ECT), berjumpa dengan ahli Psikoterapi atau kaunseling bersama kaunselor yang bertauliah. Penyakit kemurungan boleh dirawat, dan lebih 80% daripada pesakit dapat disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang teratur dan intensif. Semoga perkongsian pagi ini memberi manfaat kepada semua.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: