Live Streamyard: Tahun Baru, Azam Baru Bersama PEDI
12 Januari 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital Kg. Repek, Selasa – 11 Januari 2022 - PEDi Repek telah bekerjasama bersama PEDi Karangan, PEDi Lawang, PEDi Batu Gajah dan PEDi Selising dalam satu sesi siaran langsung di Facebook melalui aplikasi StreamYard yang berkongsi tentang “Tahun Baru, Azam Baru PEDi” sempena tahun baru 2022 yang baru saja kita raikan setelah kita tempuhi tahun 2021 yang telah memberi definisi yang berbeza bagi setiap individu. Azam tahun baru boleh diertikan sebagai satu kemahuan, keinginan atau cita-cita yang ingin dicapai setiap kali menjelangnya tahun baru. Kali ini, PEDi telah berkongsi tentang kepentingan memiliki azam tahun baru dan panduan untuk menggapainya.
Antara kepentingan azam tahun baru yang telah dikongsikan oleh kakitangan PEDi adalah dapat mendisiplinkan individu dalam menjalani tahun baru yang lebih baik dalam memastikan azam yang diimpikan tercapai sebelum menginjak tahun baru yang seterusnya. Jadi, pentingnya bagi setiap individu untuk mempunyai azam atau matlamat yang memberi fokus terhadap kepentingan diri sendiri, keluarga, agama, karier dan sebagainya agar kita dapat meneruskan perjalanan kehidupan harian kita dengan lebih bermakna dalam menggapai azam yang telah ditetapkan pada tahun baru ini.
Kakitangan PEDi juga memberi penekanan kepada komuniti tentang pentingnya memanjatkan rasa kesyukuran terhadap ALLAH S.W.T setiap kali tercapainya azam yang diimpikan dalam mendidik diri sendiri untuk sentiasa merendah diri dan yakin bahawasanya setiap apa yag kita miliki hari ini adalah hasil pertolongan dariNya. Pihak PEDI juga turut memberi semangat kepada mereka yang masih belum mengecapi azam yang telah ditetapkan pada tahun sebelumnya untuk tidak terus berputus harap dengan kekuasaanNya kerana akan tercapai azam-azam yang diimpikan bagi orang yang terus berusaha dan sabar dengan izinNya.
Justeru itu, kakitangan PEDi amat berharap setiap individu untuk memulakan tahun baru dengan azam yang baru bagi meneruskan perjalanan tahun baru dengan lebih bererti dan tidak berputus asa dalam menggapai cita-cita yang diimpikan. Jadilah manusia yang bersangka baik kepada ALLAH S.W.T agar setiap apa yang dipohon dan diusahakan dimakbulkanNya pada suatu hari yang tepat untuk kita dapatkannya. Kakitangan PEDi berharap perkongsian kali ini dapat membuka mata komuniti akan pentingnya azam baru dalam menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: